Sunday, May 2, 2010

DALAM NEGERI
ARKIB : 18/02/2010

JMM desak Kalimullah beri penjelasan

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Pengerusi Eksekutif ECM Libra Financial Group Bhd., Datuk Seri Kalimullah Hassan didesak membuat penjelasan berhubung laporan sebuah laman blog yang mendakwa beliau membiayai portal berita propembangkang, The Malaysian Insider.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, dakwaan itu amat serius kerana portal berkenaan telah dijadikan platform untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, agama Islam dan orang Melayu secara konsisten.
Beliau berkata, pihaknya membuat desakan terbuka supaya penjelasan itu dibuat dalam tempoh seminggu memandangkan surat JMM kepada Kalimullah berhubung perkara tersebut sebelum ini tidak dibalas.

“Kita tidak mahu menuduh tetapi Kalimullah adalah orang penting, bukannya orang kecil seperti Azwanddin yang tidak dikenali, memandangkan beliau orang penting maka apabila ada tohmahan dia perlu membuat penjelasan.

“Kalau tidak betul, beliau perlu membuat penafian dan menyaman blog berkenaan sebab kita tengok sampai sekarang Kalimullah diam tanpa reaksi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 11 Februari lalu, blog Gerakan Anti-PKR melalui entri bertajuk Kalimullah Pembohong Harus Disiasat mendakwa beliau pernah kaya raya apabila dianugerahkan kontrak daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bernilai RM900 juta secara paksa melalui syarikat proksinya, Efficient E-Solution.

Blog berkenaan mendakwa pembiayaan The Malaysian Insider dilakukan oleh Regalia Records Management Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikatnya melalui seorang proksi bernama Shaikh Akmal Shaikh Alaudin.

“Melalui rangkaian besar syarikat yang dimiliki dan struktur kewangan syarikat yang begitu kukuh, tidak menghairankan setelah disingkir daripada jawatan penting dalam kerajaan, Kalimullah menyerang secara halus kerajaan Malaysia melalui laman portal yang dimilikinya iaitu The Malaysian Insider.

“The Malaysian Insider kini lebih mirip kepada suara anti UMNO, anti Islam dan banyak menyumbangkan ideologi ketuanan rakyat dan Middle Malaysian mainan pembangkang,” dakwa blog berkenaan.

Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, jika dakwaan blog berkenaan mempunyai asas maka pihaknya melihat perbuatan Kalimullah itu sebagai keterlaluan.
“Kalimullah mendapat projek yang besar daripada kerajaan dan kenapa beliau duduk di belakang The Malaysian Insider untuk menghentam Najib.
“Bukankah ini lari daripada etika, lagipun kebanyakan berita yang dibuat tidak ada fakta, ini bahaya,” tegasnya.

Sementara itu, Azwanddin berkata, sekiranya desakan JMM dipandang sepi, pihaknya akan menyerahkan segala maklumat berhubung kegiatan Kalimullah kepada pihak berkaitan.
“Kita sebenarnya memiliki sejumlah bukti kukuh tetapi berharap beliau membuat penjelasan terlebih dahulu,” katanya.


TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Rangka manusia ditemui Nov. lalu berusia 16,000 tahun


No comments:

Post a Comment