Sunday, May 2, 2010

Penyokong Reformasi Diterap Nilai Perjuangan Songsang

KUALA LUMPUR 11 April - Gerakan reformasi yang dicetuskan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula penghujung 1998 didakwa membabitkan penerapan nilai perjuangan songsang dengan tujuan memperkudakan penyokong fanatiknya untuk kepentingan peribadi.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Azwanddin Hamzah mendakwa, penerapan nilai itu melahirkan sekumpulan besar penyokong yang tidak gentar dengan pihak berkuasa ketika berdemonstrasi di jalanan.
Jelas beliau, keberanian itu terbit kerana mereka telah dimomokkan bahawa sesiapa sahaja yang berkonfrantasi dengan pihak berkuasa sehingga ditahan adalah seorang hero.Lantaran itu katanya, peserta demonstrasi pada masa itu bagaikan tertunggu-tunggu untuk ditangkap malah mereka berasakan tidak mendapat kepuasan jika polis tidak bertindak terhadap mereka.
"Sebab itu kita dapat lihat peserta demonstrasi di sekitar 1998 hingga 2000 begitu berani, mereka bagaikan tertunggu-tunggu untuk ditahan, dikasari dan amat seronok jika dihumban ke dalam lokap.
"Kadang-kadang polis tidak tahan mereka tetapi mereka sengaja melakukan provokasi supaya dikenakan tindakan. Bagi mereka dihumban ke dalam lokap adalah satu pencapaian dan layak masuk kategori seorang hero dalam perjuangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut Azwanddin berkata, kesan penerapan nilai perjuangan itu akhirnya tidak terkawal sehingga membentuk beberapa kumpulan yang terlalu radikal di kalangan mereka.Sebagai contoh jelasnya, ada kumpulan yang mahu melakukan pengeboman dan ada pula yang mahu menggunakan senjata.
Ini satu realiti namun kita amat bernasib baik kerana polis telah bertindak dengan pantas mengekang pergerakan mereka," katanya.
Menurut Azwanddin, akibat penerapan nilai perjuangan songsang itu jugalah semangat hormat menghormati di kalangan masyarakat semakin runtuh sehingga ke peringkat membelakangkan undang-undang negara.
Beliau berkata, kesan itu masih boleh dilihat hari ini di Dewan Rakyat apabila ada di antara mereka berjaya menjadi ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.
"Lihatlah sendiri gelagat pemimpin tertentu di Dewan Rakyat, mereka bukannya menghormati undang-undang dan hanya pandai mengkritik kerana diasuh di jalanan," katanya.Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kesedihan dengan nasib pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak menamatkan pengajian kerana taksub memperjuangkan Anwar melalui gerakan reformasi.
Katanya, ramai juga di kalangan penyokong terbabit yang hilang pekerjaan malah ada kes membabitkan keruntuhan rumah tangga."Terlalu ramai yang menjadi mangsa, Anwar bukannya mahu ambil tahu kerana tujuan dia hanyalah untuk kepentingan peribadi," katanya.
-sumber Utusan Malaysia Online -12/04/2010

No comments:

Post a Comment