Tuesday, June 1, 2010

JMM tidak setuju ahli lembaga pengarah dikeluarkan

KUALA LUMPUR 31 Mei - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tidak bersetuju dengan saranan beberapa pihak yang mahukan kesemua Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad (Sime Darby) yang mengalami kerugian lebih RM1.63 bilion dikeluarkan daripada konglomerat itu.
Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah (gambar) berkata, tindakan itu tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang timbul, sebaliknya mereka perlu diberikan peluang untuk menjelas dan mempertahankan kedudukan mereka.
"Mereka adalah Ahli Lembaga Pengarah yang telah dilantik dan kebanyakan mereka mempunyai pengalaman luas menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Adakah mereka telah memberikan fokus terhadap amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby atau mereka telah melakukan kelalaian dan kecuaian di dalam melaksanakan tugas mereka ataupun mereka menjadi mangsa kepada keadaan," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 13 Mei lalu, Sime Darby mengumumkan kerugian lebih RM1.63 bilion berikutan berlakunya lebihan kos dalam beberapa projek di bawah Bahagian Tenaga dan Utilitinya.
Berikutan lebihan kos itu, Sime Darby bakal kerugian RM964 juta bagi separuh kedua tahun kewangan 2010 bagi projek hidroelektrik Bakun (RM450 juta), Maersk Oil Qatar (MOQ) (RM159 juta) dan pembinaan kapal bagi projek MOQ (RM155 juta).
Kerugian itu telah dikenalpasti selepas Sime Darby mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas pada Oktober 2009 untuk mengkaji operasi Bahagian Tenaga dan Utilitinya. Jawatankuasa itu dianggotai oleh Datuk Seri Panglima Andrew Sheng Len Tao, Tan Sri Wan Mohd Zaid Mohd Noordin dan Datin Paduka Zaitoon Othman.
Tambah Azwanddin, JMM bagaimanapun bersetuju dengan resolusi yang dibuat oleh Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu pada Sabtu lalu bahawa pengarah-pengarah Sime Darby mesti bertanggungjawab terhadap kerugian itu.
Katanya, selain Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam yang telah membuat kenyataan mengenai kerugian itu baru-baru, ahli-ahli lembaga pengarah lain amat wajar diberikan peluang yang sama.
"Mereka ialah Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Dr. Ariffin Mohamad Siregar, Tan Sri Samsuddin Osman, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali, Datuk Seri Panglima Sheng Len Tao, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

"Datuk Henry Sackville Barlow, Datuk Seri Mohamed Sulaiman, Datuk Dr. Abdul Halim Ismail dan Datin Paduka Zaitoon Dato' Othman.
"Semua mereka ini juga harus diberikan peluang untuk memberikan penjelasan mengenai apa yang telah berlaku dan mempertahankan kedudukan mereka," katanya..
Sehubungan itu, Azwanddin menyarankan kepada pihak media untuk berusaha mendapatkan komen terus daripada mereka.
Katanya, penjelasan ini sebenarnya amat penting bagi memastikan rakyat negara ini mendapat maklumat sebenar yang telus mengenai perkara sebenar yang telah berlaku.

-Utusan Malaysia 1hb June 2010

No comments:

Post a Comment