Friday, March 11, 2011

JMM Terbit Rancangan Televisyen Tangkis Tanggapan Buruk Pada Kerajaan

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) akan menerbitkan sebuah rancangan televisyen berjudul "Antara Dua Garisan" untuk tayangan di Malaysia dan Indonesia, bertujuan menangkis persepsi negatif masyarakat terhadap kerajaan kedua-dua negara.


Pengarah Kebangsaan JMM Hamdan Mohd Salleh berkata program usahasama JMM bersama penerbitan dari malaysia dan Indonesia itu antara lain akan membincangkan secara teperinci dasar-dasar kerajaan selain mengupas isu-isu berbangkit menerusi penampilan pemimpin kerajaan masing-masing dalam rancangan yang akan ke udara selama 30 minit itu.


"Selama ini persepsi masyarakat Indonesia telah dipesong dan disogok dengan maklumat negatif oleh pemimpin-pemimpin politik bukan kerajaan dari Malaysia yang diberikan ruang untuk muncul di rangkaian televisyen di negara itu."

"Oleh itu, Antara Dua Garisan yang mengandungi 12 episod akan menjadi platform kerajaan untuk memperbetulkan keadaan dan secara tidalk lansung program ini juga akan memberi gambaran sebenar keakraban kedua-dua negara dalam menangani semua isu berbangkit," katanya pada sidang media pra-pelancaran program itu di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata pelancaran rasmi "Antara Dua Garisan" akan dilakukan oleh Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Muhkriz Tun Mahathir pada 20 Mac, sekaligus akan muncul sebagai tetamu pertama dalam program yang dijadualkan bersiaran Jun ini.

Hamdan berkata pemimpin lain yang akan terlibat dalam program itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Senator Ezam Mohd Nor dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata pihaknya berharap program itu dapat ditayangkan di saluran televisyen milik kerajaan.

Selain politik dan isu-isu semasa, program bebrbentuk majalah dan berinformasi itu juga akan memfokuis kepada topik-topik sukan, kebudayaan, keselamatan, ekonomi dan hiburan.

No comments:

Post a Comment