Sunday, June 5, 2011

Kemenangan profesional Pas tutup peluang penyatuan Melayu

''Keputusan ini juga menunjukkan agenda tangan ghaib di luar Pas berjaya memperlekehkan kumpulan ulama serta barisan Pemuda Pas. Perkara ini seharusnya membuka mata orang Melayu dan umat Islam,"

KUALA LUMPUR 4 Jun - Penguasaan kumpulan profesional dalam Pas bakal menutup peluang penyatuan orang Melayu dan Islam yang diperjuangkan kumpulan ulama sebelum ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam berkata, kemenangan kumpulan yang condong kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga memperlihatkan perjuangan matlamat menghalalkan cara yang diamalkan oleh kepemimpinan baru Pas.

''Kemenangan kumpulan 'Erdogan' ini akan menjadikan Pas semakin liberal dan terbuka serta lari daripada paksi gerakan Islam sebenar.

''Justeru, orang Melayu yang sayangkan Islam dan kini tidak mempunyai pilihan lain selain menyokong UMNO untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Agama Kebangsaan, Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Nik Khairul Annuar Ab. Rahim berkata, Pas boleh membuat sebarang penilaian untuk mewajarkan penguasaan kumpulan profesional dan liberal itu.

Namun sesuatu yang jelas katanya, ia tidak lebih daripada satu usaha menjaga hati Anwar dan DAP berbanding golongan ulama di dalam parti itu sendiri.

''Keputusan ini juga menunjukkan agenda tangan ghaib di luar Pas berjaya memperlekehkan kumpulan ulama serta barisan Pemuda Pas. Perkara ini seharusnya membuka mata orang Melayu dan umat Islam," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment