Friday, July 8, 2011

Siasat laman sosial hina Agong

SKMM sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana terlalu 'lembap' menangani sebarang isu seumpama itu dan hanya akan bertindak apabila diminta berbuat demikian

KUALA LUMPUR 7 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus digesa menyiasat beberapa pengguna laman sosial yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berikutan titah khas Seri Paduka berhubung isu perhimpunan haram Bersih pada Sabtu ini.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, SKMM sepatutnya bertindak awal dan tidak perlu menunggu sehingga laporan polis dibuat untuk menyiasat kes itu.

Beliau menyifatkan SKMM sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana terlalu 'lembap' menangani sebarang isu seumpama itu dan hanya akan bertindak apabila diminta berbuat demikian.

"Kita di JMM dah jemu dengan SKMM kerana walaupun pelbagai desakan dan teguran diberi, mereka masih kurang berfungsi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, dua pengguna laman sosial Twitter yang menggunakan nama 'DAPSugu' dan 'AMK Rembau' didakwa menghina serta memperlekeh kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menangani isu perhimpunan Bersih.

Mengulas lanjut Azwanddin berkata, SKMM perlu lebih efisien berhubung perkara itu kerana laman sosial tersebut dikatakan menghina institusi negara.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali ketika dihubungi turut mengesa SKMM menjalankan siasatan ke atas pengguna laman sosial yang didakwa menghina Seri Paduka.

"Perkara itu dilihat sebagai menghina serta memperlekeh kebijaksanaan Seri Baginda," katanya.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen SKMM gagal apabila wakilnya enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment