Friday, September 16, 2011

JMM minta menteri kaji pandangan sokong PPSMI

"Mohd Puad perlu mendengar pendapat semua pihak dan bukan sebelah pihak yang kerap menemui beliau tanpa memanggil kami untuk menjelaskan hasil kajian selidik dan harapan ibu bapa terhadap PPSMI"

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Jaringan Melayu (JMM) meminta Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mendengar pandangan semua pihak sebelum menolak hasil kajian pertubuhan itu berhubung sokongan 55 peratus ibu bapa terhadap pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Yang Dipertuanya, Azwanddin Hamzah, berkata pandangan semua pihak perlu diambil kira sebelum kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan PPSMI mulai tahun depan.

Katanya, pertimbangan itu penting kerana isu berkenaan membabitkan sumber tenaga manusia negara pada masa depan, sekali gus ibu bapa wajar diberi pilihan menghantar mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris dalam subjek berkenaan.

"Mohd Puad perlu mendengar pendapat semua pihak dan bukan sebelah pihak yang kerap menemui beliau tanpa memanggil kami untuk menjelaskan hasil kajian selidik dan harapan ibu bapa terhadap PPSMI.

"Kita faham bahasa Inggeris bukan satu subjek keutamaan dan tidak minta kerajaan mengubah bahasa kebangsaan kepada bahasa Inggeris dalam perkara rasmi.

"JMM minta beliau mengambil kira pandangan JMM, Page (Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia) serta majoriti besar ibu bapa yang mempunyai cita-cita tinggi terhadap pengajian anak mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Sebelum ini, Mohd Puad dilaporkan menolak kajian diperoleh JMM dengan alasan kajian itu tidak mengambil kira pelbagai aspek dan hanya bergantung persetujuan ibu bapa terhadap PPSMI
 
Sumber: Berita Harian

1 comment:

  1. nak belajar Sains/Matematik dalam Bahasa Malaysia boleh, cuma takut ketinggalan dan internet tak dapat bantu kefahaman. Apa salahnya belajar dengan teks dwibahasa? ms 23 - problems faced by employers in hiring fresh graduates - TOP - POOR COMMAND OF ENGLISH 55.8% http://www.alumni.upm.edu.my/employability/papers/003_Tn_Hj_Samsudin_Bardan.pdf

    ReplyDelete