Monday, September 12, 2011

Majlis Peguam jangan jadi 'kuda tunggangan' parti politik

"Mereka jangan jadi 'kuda tunggangan' mana-mana parti politik. Badan itu juga perlu lebih peka dan segera menyediakan mekanisme membendung salah laku peguam khususnya melibatkan kes penipuan wang pengguna yang berurusan dengan mereka,"

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini hadir untuk memberi keterangan berhubung satu laporan polis oleh Majlis Peguam yang mendakwa pertubuhan itu mencuri harta-benda badan tersebut ketika ahli-ahlinya hadir untuk menyerahkan memorandum, pada 8 Julai lalu.

Presidennya, Azwanddin Hamzah tiba di Balai Polis Tun H. S. Lee kira-kira pukul 2 petang bersama ahli JMM yang lain bagi membantu pihak polis merekod keterangan berhubung dakwaan tersebut.

Menurutnya, pihaknya yakin bahawa mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan termasuk mencuri harta benda di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan seperti didakwa Majlis Peguam itu.

"Agak mengejutkan apabila laporan polis dibuat terhadap kami atas tuduhan mencuri harta benda pihak yang mempunyai latar belakang undang-undang itu.

"Walaupun pada ketika itu tujuan kami sebenarnya menemui mereka adalah untuk menyampaikan pandangan JMM melalui memorandum berhubung tindak-tanduk Majlis Peguam tersebut yang lebih cenderung ke arah politik," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, pihaknya berpendapat sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab di dalam profesion perundangan, mereka tidak seharusnya dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.

"Mereka jangan jadi 'kuda tunggangan' mana-mana parti politik. Badan itu juga perlu lebih peka dan segera menyediakan mekanisme membendung salah laku peguam khususnya melibatkan kes penipuan wang pengguna yang berurusan dengan mereka," katanya.

Azwanddin memberitahu, JMM mempunyai tanggungjawab dalam memastikan golongan profesional seperti peguam perlu sentiasa mengangkat integriti dan beretika semasa menjalankan tugas.

Katanya, beliau kesal dengan tindakan majlis itu yang dilihat bukan sahaja tidak menerima pandangan JMM sebaliknya tuduhan tidak berasas dilemparkan terhadap mereka.

"Semasa perhimpunan Bersih 2.0 dijalankan, Majlis Peguam itu sendiri memberi sokongan terhadap tindakan penganjurnya itu tetapi tidak pula mahu menerima memorandum daripada kami," katanya.

Tambahnya, JMM akan berbincang dengan wakil peguamnya dan mereka tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis berhubung fitnah yang dibuat oleh Majlis Peguam itu

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment