Wednesday, November 2, 2011

Program pertukaran pendakwah

Program ini antara lain merupakan usaha menangani pelbagai isu berkaitan agama terutama yang cukup dibimbangi negara kini iaitu penularan isu murtad. Jadi, dengan mewujudkan program sebegini, kedua-dua negara boleh berkongsi pendapat dan bertukar pandangan,” 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan agar Malaysia dan Indonesia mengadakan program pertukaran pendakwah untuk berbincang dan memperoleh kesepakatan menangani perbezaan pendapat dalam pelbagai aspek termasuk hal agama.
Dalam masa yang sama, mereka turut mencadangkan kedua-dua negara mewujudkan sebuah program latihan akademik yang boleh disertai oleh golongan muda bagi meningkatkan keupayaan golongan itu menyampaikan dakwah dan berpidato.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma’amor Osman berkata, program tersebut dilihat antara usaha yang boleh memberi faedah jangka masa panjang kepada kedua-dua negara.

“Menerusi program ini, latihan secara akademik boleh diberikan dan setiap tahun kedua-dua negara boleh menghantar wakil untuk membentangkan hujah dalam menangani pelbagai isu yang timbul antara kedua-dua negara.

“Program ini antara lain merupakan usaha menangani pelbagai isu berkaitan agama terutama yang cukup dibimbangi negara kini iaitu penularan isu murtad. Jadi, dengan mewujudkan program sebegini, kedua-dua negara boleh berkongsi pendapat dan bertukar pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan perbincangan topik Cabaran dan Harapan pada sesi Dinamika Serantau pada program Pertemuan Serantau One Region yang diadakan di sini, hari ini.

Kata beliau, program tersebut bagaimanapun memerlukan sokongan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terutama berhubung pengeluaran visa mubaligh kepada pendakwah yang terlibat bagi tempoh antara enam bulan hingga setahun.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar sebuah laman sesawang yang akan dipantau oleh pegawai sumber terpilih dari kedua-dua negara diwujudkan bagi membahaskan pelbagai isu yang timbul antara kedua-dua negara.

Ketua Pemimpin Pusat Pemuda Muhammadiyah, Dr. Salleh P. Daulay berkata, cadangan mengenai pertukaran pendakwah secara tidak langsung akan meningkatkan pemahaman dan kecintaan rakyat kedua-dua negara terhadap Islam.

“Kita boleh berbicara tentang perkara-perkara yang bersifat universal dan cadangan ini bagi saya tidak mustahil untuk dilaksanakan memandangkan ia tidak memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kesepakatan antara NGO, media dan pendakwah penting dalam mencari persefahaman berkaitan isu perundangan dua negara.

“Perbincangan tidak semestinya melibatkan isu besar semata-mata, tetapi boleh juga membincangkan isu di luar kotak termasuk perkara-perkara yang kecil,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad yang juga merupakan Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan Sofa) berharap usaha tersebut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan Indonesia.

“Setiap kali timbul isu antara dua negara, maka timbul juga suara-suara sumbang yang cuba membandingkan pendirian antara Malaysia dengan Indonesia seolah-olah kami yang mempertahankan nilai-nilai yang ada seperti ketinggalan zaman.

“Justeru, kesepakatan dua negara perlu dikaji semula untuk sama-sama memastikan yang mana kita boleh letakkan nilai kesepakatan itu. Biar kita cakap atas dasar satu suara supaya suara-suara sumbang ini tidak timbul lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment