Monday, January 16, 2012

JMM dedah ada pihak promosi LGBT, seks bebas kepada pelajar



Azwanddin Hamzah (duduk kanan bersama wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru Wilayah Persekutuan menunjukkan risalah memerangi lesbian, gay, biseksual dan transgender di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini mendedahkan terdapat usaha pihak yang menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mempromosi pesta seks bebas dalam kalangan pelajar khususnya di kawasan Lembah Klang dan Selangor.

Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, maklumat itu diperolehi hasil hubungan baik pihaknya dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa sekolah sekitar kawasan berkenaan.Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, pihak terbabit bukan sahaja mempromosi seks bebas kepada pelajar, malah mereka sanggup menaja kegiatan jijik itu dengan turut menawarkan tempat, minuman keras percuma, pil khayal selain menggalakkan bertukar-tukar pasangan.

"Keadaan diburukkan lagi apabila pelajar-pelajar ini tidak hadir ke sekolah dan tidak pulang ke rumah beberapa hari.

"Oleh itu, tindakan yang menyokong LGBT serta seks songsang mengumpan pelajar-pelajar ke pesta seks bebas adalah satu tindakan berniat jahat dan bertujuan merosakkan masa depan pelajar dan sistem kekeluargaan," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum bermulanya mesyuarat JMM bersama 10 PIBG bagi menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Menangani LGBT di Ampang dekat sini hari ini.
JMM merupakan salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang begitu aktif menentang aktiviti LGBT kerana jelas perbuatan tersebut amat dilarang oleh agama serta bertentangan dengan moral dan fitrah manusia.

Azwanddin berkata, perkembangan yang berlaku itu amat menggusarkan hati ibu bapa apatah lagi aktiviti serta kumpulan LGBT turut mendapat sokongan golongan profesional seperti Majlis Peguam termasuk bekas Presidennya, Datuk S. Ambiga.

"Ibu bapa berasa cemas apabila melihat kenyataan golongan menyokong program seksualiti merdeka (berkaitan LGBT). Kumpulan ini cuba memberi persepsi palsu mengenai kebaikan program itu.

"Hakikatnya, LGBT dan seks bebas bukan hak asasi manusia tetapi ia merupakan satu perbuatan paling jijik. Islam mengharamkan perbuatan itu. Ia bertentangan dengan akidah Islam.

"Agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu juga menolak perbuatan itu. Bukan itu sahaja, ada di antara perbuatan LGBT diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah antaranya liwat," ujarnya.

Ekoran perkembangan itu, Azwanddin berkata, JMM mengorak langkah mengadakan kerjasama lebih erat dengan seberapa banyak PIBG di Lembah Klang dan Selangor bagi menyedarkan ibu bapa mengenai bahaya LGBT.

"Kita perlu menyedarkan ibu bapa bahawa LGBT membawa kemudaratan kepada masyarakat serta keluarga, lebih-lebih lagi Islam mengharamkan perbuatan jijik itu," katanya.
Melalui kerjasama tersebut, katanya, JMM dan PIBG melakukan aktiviti di sekolah agar pelajar diberi pendedahan mengenai gejala LGBT yang kini dilihat semakin menular.

"Kita akan mengedarkan risalah serta mengadakan beberapa aktiviti bagi menerangkan kesan LGBT kepada agama, negara dan sosial jika perbuatan jijik itu dibiarkan begitu sahaja," katanya.


-Petikan dari Utusan Malaysia 16/1/2012

1 comment:

  1. Baguslah kalau macam tu.Setiap orang mempunyai kebebasan termasuk kebebasan seks.Hidup kehidupan homoseksual!Hidup DS Anwar Ibrahim.

    ReplyDelete