Wednesday, March 7, 2012

Jangan mengalah tuntutan LBGT

"Islam mengharamkan hubungan sejenis, sehubungan itu mana-mana pihak yang mahu menghalalkan perkara yang diharamkan di sisi agama adalah dikira murtad," 

KUALA LUMPUR 5 Mac - Kerajaan digesa tidak mengalah terhadap tuntutan untuk mengiktiraf hak kaum lesbian, biseksual, gay dan transgender (LBGT) di negara ini.


Sebaliknya, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, kerajaan perlu menentang habis-habisan ejen songsang yang mempromosikan budaya itu termasuk pihak yang mahu menganjurkan program Seksualiti Merdeka, baru-baru ini.

"Islam mengharamkan hubungan sejenis, sehubungan itu mana-mana pihak yang mahu menghalalkan perkara yang diharamkan di sisi agama adalah dikira murtad," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan pemimpin kanan Kristian Katolik di London, Kardinal Keith O'Brien yang menyifatkan rancangan Perdana Menteri Britain, David Cameron untuk membenarkan perkahwinan sejenis sebagai 'gila'.

Harussani berkata, budaya LGBT juga boleh menyumbang kepada keruntuhan akhlak yang lebih teruk sekiranya dibenar diamalkan di negara ini.

"Golongan belia kebanyakannya sudah rosak akhlaknya, jadi kita tidak mahu moral mereka lebih teruk dengan adanya budaya LGBT itu," kata beliau.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, semua pihak perlu mencari kaedah terbaik untuk membantu golongan LBGT kembali ke pangkal jalan.

Beliau berkata, semua agensi berkaitan termasuk jabatan agama, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan perlu memperkenalkan program khas kepada golongan berkenaan supaya meninggalkan gaya hidup songsang tersebut.

"Islam hanya membenarkan perkahwinan antara lelaki dan perempuan. Kegiatan LBGT bukan sahaja ditentang semua agama malah ia terbukti menghapuskan keseluruhan asas kekeluargaan iaitu ibu dan ayah,'' katanya

Dalam pada itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, LBGT boleh memusnahkan tamadun kemanusiaan dan umat Islam perlu menginsafi perintah Allah dalam menjauhi perbuatan jijik, tidak berakhlak dan memalukan itu.

"Di samping kita menentang perbuatan luar tabii ini, semua pihak perlu menyelamatkan kelompok ini daripada terus hanyut ke arah kemungkaran," katanya.

No comments:

Post a Comment