Thursday, July 5, 2012

Akhlak Islamiah teras kecemerlangan Muslim


SERINGKALI media melaporkan permasalahan berkaitan akhlak yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini. Sedar atau tidak, kurangnya penerapan akhlak Islamiah inilah punca sebenar berlakunya permasalahan ini.


Kita sedia maklum, gejala negatif kian menular dalam kalangan umat Islam. Kebelakangan ini, negara kita sudah tidak asing lagi dengan kes pembuangan bayi. Hal ini sudah pasti mendatangkan kerisauan yang amat besar bagi masyarakat Islam kita.

Tidak cukup dengan itu, kerisauan ini ditambah dengan sokongan terhadap golongan gay dan lesbian di negara ini. Golongan ini sebenarnya sudah lama wujud, tetapi dikatakan membabitkan sebilangan kecil sahaja. Tetapi, usaha golongan ini dalam meluaskan pengaruhnya semakin agresif.


Sebagai contoh, isu yang hangat dilaporkan media baru-baru ini mengenai Irshad Manji yang merupakan pemikir liberal Muslimah yang memperjuangkan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Irshad berusaha mengetengahkan idea kebebasannya atas nama agama dengan menyampaikan syarahan dan memperkenalkan buku terbarunya Allah, Kebebasan dan Cinta, terbitan ZI Publications sebuah syarikat berdaftar di negara ini kepada umat Islam di sini.

Atas sebab-sebab tertentu, syarahan dan sesi pengenalan buku karya tokoh feminis liberal ini yang dijadualkan berlangsung di salah sebuah universiti terkemuka Malaysia ini dibatalkan.

Sekiranya Irshad berjaya menyempurnakan misi kedatangannya itu, sudah pasti dia mampu mempengaruhi minda masyarakat kita dan menyebabkan berlaku kekeliruan informasi. Umat Islam yang cetek pengetahuannya pastilah akan menerima fahaman salah ini secara membuta tuli. Begitulah antara akibatnya pengabaian akan pentingnya penerapan akhlak Islamiah dari peringkat awal lagi.

Dahulu, kita hanya mendengar gejala negatif seperti ini berlaku di negara-negara luar, tetapi sekarang ia dapat dilihat di depan mata kita sendiri. Situasi ini menunjukkan betapa cepat dan dekatnya perkara negatif ini merebak dalam kehidupan masyarakat Islam kita.

Antara punca tercetusnya permasalahan ini adalah kurangnya pengetahuan agama dalam diri Muslim menyebabkan mereka tidak mengetahui sama ada perkara itu dibenarkan atau dibataskan syarak. Mereka merasakan agama hanyalah anutan dan tidak cuba mendalami hikmah yang terkandung di sebaliknya.

Jika pengetahuan agama dipandang enteng sudah tentulah akan memberi kesan yang buruk dalam kehidupan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya". (At-Taubah ayat 122). Di sini dapat difahami bahawa betapa pentingnya pengetahuan agama bagi kebahagiaan hidup manusia.
Terdapat juga mereka yang hanya mementingkan kecemerlangan dunia tanpa menghiraukan akhirat. Bagi mereka, kecemerlangan dunia amat penting kerana ia menjamin kebahagiaan mereka. Tanggapan ini jelas sekali tersasar dari landasan Islam kerana kita tidak akan memperoleh kebahagiaan sekiranya tidak menyeimbangkan keperluan dunia dan akhirat.

Perkara ini juga berlaku disebabkan masyarakat terpengaruh dengan dakyah-dakyah Barat yang mengeksploitasi pemikiran umat Islam dengan perkara-perkara yang menyebabkan kelalaian seperti berlebihan dalam hiburan, fesyen, sukan dan sebagainya. Sajian hiburan melampau yang dianjurkan Barat tetap terus mendominasi jiwa-jiwa remaja Islam.

Daripada unsur kelalaian inilah yang sedikit demi sedikit melakarkan akhlak yang negatif dalam pembentukan kecemerlangan peribadi Muslim. Umat Islam perlu sedar bahawa golongan Barat berusaha sedaya upaya mencipta pelbagai taktik untuk menyesatkan umat Islam. Hasan Al Banna dalam bukunya Rasa'il al-Imam al-Syahid, menyuarakan kebimbangannya terhadap umat Islam yang tidak mampu menepis ancaman-ancaman sosial Barat yang berusaha menyekat umat Islam daripada mempunyai perubahan dan kekuatan dalam menjalani kelangsungan hidup yang bertamadun.

Dalam hal ini, apabila mereka melihat kita dalam kelalaian, mereka bersorak gembira meraikan kehancuran yang ditempuh umat Islam. Adakah kita sanggup melihat umat Islam kita sewenang-wenangnya dimanipulasi golongan Barat?

Dengan tersemainya akhlak yang baik dalam jiwa umat Islam itu akan terhasil kejayaan dan kecemerlangan yang dibajai dengan iman dan takwa kepada Allah SWT. Lantaran itu, akhlak yang berasaskan Islam amat penting dalam menerajui kehidupan umat Islam. Ini kerana, akhlak yang baik merupakan asas dalam penyempurnaan iman seseorang Mukmin. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang Mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya."

Selain itu, akhlak Islamiah ini dapat menghindarkan diri seseorang Muslim itu daripada ditempatkan di neraka manakala, berakhlak buruk pula akan menyebabkan seseorang itu jauh daripada mengecap kenikmatan syurga Allah. Rasulullah SAW bersabda: "Si fulan pada siang harinya berpuasa dan pada malamnya bersembahyang sedangkan akhlaknya buruk, menganggu jiran tetangga dengan perkataannya, tidak ada kebaikan dalam ibadahnya, dia adalah ahli neraka." Hadis ini menerangkan bahawa Muslim itu kuat beribadah sedangkan akhlaknya buruk maka dia dimasukkan ke dalam neraka.

Jelaslah bahawa Allah tidak menilai mukmin itu berdasarkan kuat atau banyaknya beribadah, tetapi ketinggian akhlak itu sebenarnya yang menjadi ukuran menentukan seorang itu berjaya mengadaptasikan ibadah dalam kehidupan kemudian diterjemahkan kepada perilaku akhlak.

Perspektif ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa dengan adanya akhlak Islamiah sudah pasti akan dapat menghindarkan diri dari terjerumus ke lembah kehinaan dan berupaya memandu ke arah kehidupan yang lebih cemerlang.

Di samping itu, akhlak juga akan menentukan kedudukan seseorang di akhirat nanti yang mana akhlak yang baik dapat memberatkan timbangan amalan yang baik manakala akhlak yang buruk akan memberatkan timbangan amalan yang buruk. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada sesuatu yang lebih berat dalam daun timbangan melainkan akhlak yang baik."

No comments:

Post a Comment