Monday, July 9, 2012

JMM desak jelaskan isu hutang Talam





KUALA LUMPUR 7 Julai - Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar menjelaskan mengenai resolusi pengambilan hutang Talam Corporation Bhd. (Talam) sebanyak RM391,986,473 dari Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Universiti Selangor (Unisel) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).


Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, JMM ada menerima dokumen yang diposkan oleh pihak yang tidak dikenali berhubung kelulusan yang dilakukan Othman.

Katanya, berdasarkan dokumen tersebut, Othman telah meluluskan resolusi antara Selangor Industrial Corporation (SIC) yang memperakui penjualan hutang Talam dari KHSB dinilai semula pada kadar RM10 sahaja.


"Perkara ini menimbulkan persoalan yang perlu dijelaskan kerana hutang tidak berbayar Talam kepada KHSB telah diturunkan daripada RM155 juta kepada RM10.

"Ia merupakan satu jumlah yang tidak munasabah dan kita mahu ia dijelaskan dengan terperinci adakah perkara itu benar atau sebaliknya," katanya kepada pemberita di pejabat JMM, dekat sini hari ini.

Menurut Azwanddin, JMM difahamkan hutang Talam dari Unisel dan PNSB juga melalui proses penilaian pengambilan hutang dengan kaedah yang sama.

Sehubungan itu, pihaknya mahu tindakan serupa dilakukan oleh pemilik Talam, Tan Sri Chan Ah Chye bagi menjelaskan perkara berkenaan termasuk siapa mendapat keuntungan di sebalik penjualan hutang berkenaan.

"JMM melihat seperti wujudnya perkara meragukan melalui resolusi itu dan mungkin ada penyelewengan. Sebab itu kita mahu ia dijelaskan," ujarnya.

Selain itu, katanya, sekeping nota pendek yang memberitahu akan ada dokumen susulan selepas ini turut disertakan bersama dokumen yang diposkan kepada JMM.

"Saya sendiri tidak tahu siapa yang memberi dokumen ini. Justeru, kita mahu kebenarannya dirungkai kerana ia melibatkan wang rakyat negeri Selangor," ujarnya.

Tegasnya, sekiranya tiada respons yang dilakukan Othman dan Ah Chye, JMM akan berbincang bersama peguam dan rakan lain dalam menentukan tindakan selanjutnya.


No comments:

Post a Comment