Saturday, September 29, 2012

Segera ambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Perak


KUALA LUMPUR 24 Sept. - Pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan tegas terhadap Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham agar perkara yang menyentuh sensiviti umat Islam itu dijadikan pengajaran dan tidak berulang lagi pada masa depan.


Setiausaha Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Mohd. Jurit Ramli berkata, pihaknya menyokong penuh saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz agar pihak polis segera membuka kertas siasatan mengenai kontroversi itu.


"Perkara ini tidak boleh diselesaikan dengan semudah meminta maaf, hati umat Islam sudah terluka dan kita bimbang perkara yang sama akan berulang lagi.

"Saya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas dan segera dalam perkara ini demi memelihara perpaduan dan keamanan masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mohamed Nazri meminta polis agar segera membuka kertas siasatan mengenai kontroversi tersebut bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara membuat pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang.

Koo Ham menerima kritikan hebat pelbagai pihak kerana mengeluarkan kenyataan dalam Twitter yang berbunyi: "Khairy mahu umat Islam memprotes Sam Bacile. Ia untuk Islam atau keuntungan politiknya? Adakah umat Islam membuang begitu banyak masa dan tenaga untuk ini?"

Sementara itu, Setiausaha Agung Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Tengku Amalluddin Sani Raja Ahmad Sufian berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap Koo Ham mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sebagai pengajaran kepada pihak lain yang hendak menyentuh sensiviti agama.

"Walaupun Perlembagaan negara membenarkan hak kebebasan bersuara tetapi ia harus tertakluk kepada prinsip moral dan tidak sewajarnya digunakan untuk memecahkan perpaduan bangsa Malaysia.

"Saya melihat kenyataan Koo Ham itu sebagai provokasi yang sengaja dilakukan bagi mengundang kemarahan umat Islam dan menimbulkan suasana tegang di negara ini," katanya.

Menurutnya, JMM berharap tindakan tegas diambil supaya dijadikan pengajaran kepada pemimpin-pemimpin politik lain agar tidak melampaui batas dalam menyuarakan pandangan.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment